Sunday, March 6, 2011

Kedah tukar jurulatih?

MUNGKINKAH akan berlaku perubahan dalam barisan kejurulatihan Kedah berikutan kemerosotan prestasi skuad Hijau Kuning itu pada musim ini?

Begitupun, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melihat beberapa pilihan termasuk memberi peluang kepada barisan jurulatih sedia ada untuk membimbing skuad Hijau Kuning hingga akhir musim
.
Setiausaha Kehormat, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib memberitahu, KFA turut menimbang untuk merehatkan ketua jurulatih, Ahmad Yusoff dan tugas itu akan di pangku penolongnya, Radhi Mat Din.

Katanya, sekiranya keputusan itu dipersetujui, Ahmad bakal bertindak sebagai penaung kepada pasukan kerana Radhi tidak mempunyai lesen kejurulatihan kelas A.

"KFA juga ada pilihan untuk meminta Ahmad menumpukan kepada pembangunan bola sepak remaja Kedah dan ketua jurulatih baru bakal mengambilalih tempatnya dalam pasukan itu," katanya ketika dihubungi di Alor Setar semalam.

Beliau mengulas desakan penyokong skuad Kenari yang mahu pengurus pasukan, Datuk Khazali Din dan tiga jurulatih Hijau Kuning meletak jawatan berikutan prestasi buruk pasukan itu pada musim ini termasuk tersingkir dari saingan Piala FA baru-baru ini.

Penyokong Kedah yang dikejutkan dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Felda United pada saingan Piala FA mengadakan demonstrasi selama 30 minit sejurus tamat perlawanan itu di Stadium Darul Aman, Jumaat lalu.

Mereka menggesa Khazali, Ahmad, Radhi dan jurulatih penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail meletak jawatan.

Menurut Dr. Hamdan, pertimbangan KFA dalam hal ini ialah mengambil kira pandangan pelbagai pihak melibatkan pemain, barisan kejurulatihan, pengurusan, penyokong serta pakar-pakar sukan bola sepak di negeri ini.

"Keputusan itu mesti adil bagi mewujudkan situasi menang-menang antara mereka yang terlibat," katanya.

Hamdan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan negeri memberitahu, pemain Kedah turut berasa bersalah dengan situasi ini dengan menyifatkan nasib belum menyebelahi mereka.

Katanya, pemain mengakui berasa tertekan dengan situasi pada saingan awal musim ini apabila kebanyakan perlawanan berlangsung di gelanggang sendiri ketika mereka bertungkus lumus memantapkan permainan pasukan.

"Pemain turut mengakui mereka tiada masalah dengan jurulatih. Saya berharap semua pihak akan terus berada di belakang skuad Kedah dengan memberi sokongan tidak berbelah bahagi tidak kira apa pun keadaan yang berlaku," katanya.

2 comments:

Nora Shahaira said...

kalau dah minat..semua tahu kan. macam hubby akak nora..semua dia tahu dalam liga omputih nun..kalo akak nora..senang je jawab "ada aku kisah..aku nak masak nasi, lagi bagus..huhu..

Ku Basri said...

nak wat mcm mna kak nora,penyokong fanatik he3