Monday, August 1, 2011

Hijau Kuning Giat Persiapan Awal

MESKIPUN belum mengetahui kumpulan mana yang bakal dihuni bagi memulakan kempen Piala Malaysia, September ini, pasukan Kedah optimis dalam melakukan persiapan bagi memantapkan persefahaman dalam perlawanan.


Menurut jurulatihnya, Wan Jamak Wan Hassan banyak kelemahan perlu diperbaiki pasukan, malah mereka akan terus menjalani latihan pada sebelah malam sepanjang bulan puasa ini.


“Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi anak buah dan taktikal yang diterapkan bagi perlawanan persahabatan menentang UiTM, UniMAP (KUKUM) dan Pilihan Yan juga berjaya.


“Pemain sudah mula serasi dengan satu sama lain. Namun aspek persefahaman antara pemain perlu dimantapkan lagi kerana saya betul-betul mahukan satu pasukan yang segar dan cergas menjelang kempen Piala Malaysia,” katanya.


Selain itu, Wan Jamak turut mendedahkan pasukannya akan meminjam dua pemain iaitu pemain Perlis, Armizi Azmi dan seorang pemain Harimau Muda B.


“Kami akan mendapatkan khidmat pemain pinjaman yang terkeluar daripada saingan Piala Malaysia dan harap mereka mampu melakukan yang terbaik buat pasukan kelak,” katanya.

Musim lalu, cabaran Hijau Kuning berakhir di separuh akhir apabila dikecewakan Kelantan menerusi agregat 1-0 yang kemudiannya menyaksikan The Red Warriors dinobatkan juara baru Piala Malaysia sejak diperkenalkan pada 1921.

No comments: