Mengapa hati ini begitu sukar untuk melupakan insan yang pernah
bertakhta di hati, sedangkan sudah bertahun-tahun lamanya memutuskan
hubungan cinta.Manisnya saat pertama kali mengenali hati si dia, apatah
lagi mengenangkan kembali bibit-bibit cinta yang pernah diharungi
bersama. Ketika itu, hidup ibarat tinggal di atas kayangan bersama si
pari-pari dan sang putera raja. Indahnya sinaran mentari sehingga tidak
dapat menjelaskan apa yang terungkai di hati.
Namun, semuanya sementara. Harapkan panas hingga ke petang rupanya
hujan di tengahari. “Mengapa kenangan lalu masih menghantui fikiran” dan
“Adakah si dia juga merasai apa yang aku rasakan ketika ini”. Adakah
perkara ini seringkali menjadi persoalan difikiran anda?
Namanya seringkali menjadi ingatan walaupun sudah kita ada pengganti.
Lebih parah, apabila kamu tidak dapat menerima cinta baru itu daripada
insan lain, sedangkan kamu sudah berpisah bertahun-tahun lamanya.
Mungkinkah kamu belum bersedia menerima penggantinya, sehinggakan
teman-teman lain dapat melihat dan merasakan perubahan sikap kamu itu?
Intim minggu ini berkongsi tip untuk melupakan bekas kekasih yang
satu ketika dahulu dialah insan yang paling disanjungi. Berikut adalah
beberapa tuntunan yang perlu dilakukan apabila hati kamu masih tidak
aman.
Anda bersedia melupakannya bila…
Menghapus kenangan bersama si dia
Setiap perkara yang dilakukan akan membuatkan kamu mengingatinya
kembali. Singkirkan dia daripada lamunan dirimu dan simpan foto-foto
kamu berdua mahupun hadiah-hadiah pemberiannya di satu tempat yang lebih
jauh dari jangkauan dan pandangan mata.
Jangan lupa padamkan nombor telefon bimbitnya daripada genggam kamu.
Termasuklah juga khidmat pesanan ringkas (SMS) dan pesanan suara
darinya.
Jangan menyeksa diri
Bila ada benda-benda atau sesuatu yang tidak dapat disingkirkan dari
ingatan, mahu tidak mahu akan membuat kamu teringat kembali kepadanya.
Misalnya lagu kenangan anda berdua disiarkan kembali dicorong radio,
jangan sampai membuat kamu tergilakannya kembali dan berasa sedih
meratapi nasib yang menimpa. Ia kerana, hal itu tidak kena pada
tempatnya.
Si dia punya pengganti
Apabila mengetahui si dia sudah mempunyai pengganti, sememangnya
wajar untuk kamu melahirkan perasaan cemburu. Perlu disedari, kamu
terpaksa merasakan bahagia yang dicari telah lepas dari genggaman si dia
dan sudah tiba masanya untuk kamu melakukan perkara yang sama.
Berhenti membandingkan
Sikap kamu yang suka membanding dengan teman lain sepatutnya
disingkirkan. Jangan sesekali membandingkan sikap, perangai atau tingkah
laku teman baru dengan bekas kekasih.
Hal ini terjadi apabila kamu belum bersedia untuk menjalinkan hubungan bersama, kamu akan menggunakan pelbagai macam alasan.
Kehidupan berbeza
Kebiasaannya, kamu akan menghabiskan cuti hujung minggu bersama,
tetapi kini anda terpaksa keseorangan. Bagaimana saya dapat menjalani
hari tersebut tanpa seseorang di sisi? Sebenarnya perasaan cemas
tersebut akan hilang dengan sendirinya. Kamu harus menyedari bahawa
sememangnya sudah ditakdirkan kamu hidup bersendirian dan harus
menikmati hujung minggu dengan sebaik-baiknya.
Cara terbaik melupakan si dia:
* Ingat hal-hal yang buruk tentang dirinya
Pada umumnya, wanita cenderung mengingati setiap perkara yang
dilakukan bekas kekasihnya. Untuk melupakannya, kamu harus mengingati
setiap perkara buruk yang ada pada dirinya.
Misalnya, dia seringkali mengutuk diri kamu, membandingkan penampilan
kamu dengan rakan-rakan, mengeluarkan suara yang tinggi atau tiada
ketepatan masa.
* Rakan pendengar setia
Walaupun pelbagai langkah telah dilakukan untuk melupakan dirinya,
namun ingatan terhadapnya sentiasa bermain difikiran. Luahkan masalah
kamu itu kepada rakan-rakan yang boleh dipercayai dan jangan sesekali
menyimpannya di dalam hati. Takut nanti anda pula yang merana. Dengan
cara sebegitu, ia sedikit sebanyak dapat menghilangkan kehadiran si dia
dari fikiran kamu.
* Cipta fantasi
Kita selalu memikirkan bahawa perpisahan itu tidak akan berlaku
sekiranya pasangan memahami hati budi dan bertolak ansur. Masalahnya
kini, kamu sudahpun memutuskan hubungan cinta dan tiada gunanya lagi
untuk berbicara tentang diri si dia. Lebih baik kamu mencari pengganti
dan ceritakan hal ini kepada teman-teman lain. Siapa tahu mereka mungkin
mempunyai kenalan yang mirip seperti yang kamu gambarkan?
No comments:
Post a Comment